- Mutakhir ini pelbagai komen terhadap PAGISA dibuat menerusi laman sosial (blog mahupun fb). Komen-komen tersebut bersifat pro dan kontra. Begitu juga, intipatinya ada yang membina ingin melihat pertumbuhan PAGISA sebagai entiti yang berdaya saing dan tidak kurang yang pesimistik terhadap kewujudan PAGISA sebagai badan sukarela yang tidak berkepentingan dengan mana-mana entiti - melainkan berkepentingan terhadap kelangsungan survival Iranun sebagai komuniti yang pernah melakar tamadun yang disegani lagi digeruni di nusantara.
- Selaku presiden yang dipilih dan dipertanggungjawab terhadap kelangsungan PAGISA berasa terpanggil untuk merakam ucap tahniah dan terima kasih kepada sahabat-sahabat AMT PAGISA yang bersungguh-sungguh menyebar luas peranan dan hala tuju persatuan ini sama ada menerusi laman-laman sosial mahupun wadah-wadah yang sedia ada. Sesungguhnya, usaha ini perlu diteruskan tanpa noktahnya. Usaha atau perjuangan perlu diteruskan walau badai kritik merempuh. Kita sesekali tidak ingin melihat bangsa ini "dijaja" demi kepentingan peribadi. Jangan hendaknya kita dipersalahkan oleh generasi pewaris kerana kita ternyata gagal mewarisi mereka suatu keampuhan bangsa dan jati diri utuh. Kita telah menyaksikan (mereka yang sempat) satu era yang mana masyarakat kita "ragu" dengan jati dirinya - malu, rendah diri, dan takut (terkadang bukan faktor seperti itu, tetapi kerendahan ilmunya). Alhamdulillah, kini kita semua telah bangkit...dan akan terus bangkit.
- Oleh hal yang demikian, PAGISA hendaklah (bukan harus) sanggup menggalas "pemartabatan bangsa" (bersama-sama NGOs Iranun yang lain). Semua NGO Iranun harus berusaha memahamkan seluruh anggota bangsa agar keutamaan diberikan kepada BANGSA (terasnya agama). Justeru, semasa penganjuran sidang meja bulat yang lalutelah melibatkan semua NGO Iranun (terima kasih kepada PERISA, PISBA, BKI, KEBETA, dan KGI).
- Paradigma persatuan yang berprinsipkan keterbukaan harus diteruskan. Setidak-tidaknya, apa yang diluahkan itu menjadi petunjuk keprihatinan mereka terhadap keberdayasaingan NGO ini. Pada hemat saya, tak ada kepompong yang membelenggu corak dan budaya fikir ahli-ahli PAGISA. Begitu juga gaya bertindak. Apa yang dilaksanakan selama ini adalah hasil musyawwarah yang menjadi teras PAGISA. Justeru, lontaran-lontaran yang dilempar itu, dihargai dan dialu-alukan - tanpa sedikitpun mengurang atau mematah semangat saya untuk terus memimpin PAGISA (selagi diperlukan). Persepsi daripada golongan prihatin dan "kritikus", terkadang hanya melihat satu dimensi pemikiran semata; tanpa melihat secara komprehensif. Walau bagaimanapun, begitulah gaya fikir manusia melainkan mereka ikhlas dan adil berfikir.
- Terkadang saya tersentak, apabila ada kritikan yang agak nakal mengatakan bahawa PAGISA diperguna dan diperkuda untuk kepentingan??? Janganlah ilmu yang dianugerahkan oleh Allah SWT itu digunakan dalam skala yang sempit. Saya ingin melihat keikhlasan dalam memperkata sesuatu isu - bukannya emotif.
- Insya-Allah, PAGISA akan menyediakan suatu medan ilmu untuk disalurkan segala pandangan secara berhemah dan membina. Mungkin juga forum, seminar, mahupun sidang meja bulat. Semua ini perlu diteliti secara bijaksana dari semua sudut - kos, kesan, penglibatan, dan yang lebih utama tindakan pasca program.
- Harapan saya, hala tuju bangsa hendaklah mendasari budaya fikir dan budaya tindak. Kesampingkan, perkara-perkara remeh yang menghalang untuk kita bersatu. Sesungguhnya, sejarah telah membuktikan bahawa kesepaduan itu adalah senjata yang paling ampuh untuk mencapai puncak kegemilangan. Sebaliknya, sikap berpecah belah, prejudis, buruk sangka, dan ketamakan telah menyaksian keruntuhan banyak tamadun kuat. Kebebasan berfikir dan berhujah perlu diurus sebaik-baiknya. Tidak perlu semua yang kita kurang senang perlu diutarakan kerana mungkin pada ketika itu kita tidak menyenangi sesuatu isu, sebaliknya khalayak yang lebih banyak menerimanya dengan penuh jelas dan terbuka.
- Pada kesempatan ini, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dalam program "Sidang Meja Bulat: Hala Tuju dan Cabaran Masyarat Iranun".
Akhirul-Qalam, ucapan terima kasih dan syabas kepada Timbalan Presiden, Setiausaha, AMT, dan sahabat-sahabat yang memahami aspirasi PAGISA.
Presiden PAGISA