Idea menubuhkan persatuan graduan Iranun dicetuskan oleh Allahyarham Dr Hj Datu Bandira Datu Alang menerusi perbincangan secara tidak formal bersama beberapa rakan penaja persatuan. Setelah diperhalusi dan ditelliti idea tersebut beberapa inisiatif telah diambil bagi merealisasikan cadangan ini.
Antara usaha bagi merealisasikan idea besar ini ialah "Seminar Majlis Graduan Iranun Sabah" yang berlangsung di Dewan Seminar SESB, Kota Kinabalu pada 17 Mei 2003. Seminar tersebut telah mengambil beberapa resolusi yang menjadi justifikasi kepada penubuhan sebuah persatuan yang bertindak sebagai Kumpulan Pemikir, iaitu:
1. Pendidikan dan Dakwah
a) Mempertingkatkan kempen terhadap kepentingan pendidikan
b) Mencadangkan penubuhan sebuah kolej Iranun; dan
c) Meningkatkan kesedaran dan amalan Islam di kalangan masyarakat Iranun dalam kehidupan seharian
2. Ekonomi
Mencadangkan penubuhan perbadanan Pembangunan Iranun Sabah (Sabah Iranun Development Corporation)
3. Sosial
Memulihara norma dan budaya Iranun yang tidak bercanggah dengan Islam
Seramai lebih kurang 100 orang graduan dan bukan graduan telah menghadiri seminar itu. Dua kertas kerja telah dibentangkan, iaitu, "Iranun dalam konteks Rantau Melayu; Harapan dan Hala Tuju", oleh Dr Hj Datu Bandira Datu Alang dan "Islam sebagai Asas Pembangunan Masyarakat Iranun", oleh Ustaz Awang Laiman Hj Ekin.
Seminar yang julung kali diadakan itu menjadi katalis kepada kelahiran PAGISA (Sabah). Dalam mesyuarat 'After Action Review' yang diadakan pada 19 Mei 2003, semua ahli mesyuarat sepakat mengambil ketetapan untuk membentuk jawatan kuasa penaja. Jawatan kuasa tersebut dikenali sebagai Jawatan Kuasa Majlis Graduan Iranun Sabah atau MAGISA.
Mengapa MAGISA? Magisa (Bahasa Iranun katuata kerja) bermaksud bersatu atau berpadu, iaitu usaha membentuk satu kesatuan yang utuh dan mantap. Justeru MAGISA diharap akan menjadi wadah yang dapat mengharmonikan variasi pemikiran dan kepakaran para graduan Iranun.
Awal tahun 2004, Jawatan Kuasa Penaja telah mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Sabah (JPPNS). Namun, permohonan tersebut ditolak oleh JPPNS dengan alasan MAGISA boleh didaftarkan hanya apabila penubuhan cawangan. memikirkan kehendak peraturan, maka perkataan 'Majlis' telah ditukarkan kepada 'Persatuan' Persatuan Graduan Iranun Sabah [PAGISA (Sabah)].
'Pagisa' (Bahasa Iranun kata kerja) bermaksud usaha-usaha yang dilakukan oleh beberapa individu untuk membentuk kesatuan atau perpaduan. Dengan kata lain antara MAGISA dan PAGISA mendukung makna yang sama.
Pada 28 Mac 2005 pertubuhan ini telah diluluskan pendaftarannya oleh JPPNS atas nama PAGISA (Sabah). Oleh hal yang demikian, bermulalah era pertubuhan ini sebagai sebagai satu entiti yang meletakkan kepentingan budaya beragama dalam pembinaan bangsa madani.
oleh
Presiden
Datu Matlan Datu Unjong
Sy amat bersetuju dgn penubuhan PAGISA ini yg mahu irranun maju dari segi pemikiran, ekonomi, sosial dan agama selaras dengan alaf baru dan era globalisasi yg kian menacabar. diharapkan dengan penubuhan PAGISA ini akan memberi wadah kpd masyarakat khususnya kaum irranun. tahniah dan semoga berjaya.
ReplyDelete