Powered By Blogger

Sunday 11 December 2011

Hudud: Satu Tuntutan dan bukan Pilihan

Meneliti terhadap perkembangan hudud yang dipolimekkan sebagai agenda politik adalah amat bertentangan dengan kehendak asal perlaksanaan hudud di negara ini. Hakikatnya hudud adalah satu tuntutan atau kewajipan yang wajib ditunaikan dalam masyarakat Islam. Dalam al-Qur'an sendiri menjelaskan berkaitan keperluan hudud sebagai satu undang-undang. Penetapan Allah swt terhadap keperluan hudud merupakan manifestasi terhadap kehidupan bermasyarakat. Jaminan berkaitaan kehidupan sosial, politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan apa sahaja yang dikaitan dengan perjalanan hidup sebagai hamba serta mahkluk.

Umat Islam serta bukan Islam perlu memahami keperluan hudud sebagai penyelamat terhadap kehidupan itu sendiri. Allah swt lebih bijak berbanding dengan manusia yang cuba menafikan kehebatan hudud, dan paling malang adalah mempertikaikannya. Apalah kedudukan manusia yang cuba merendah-rendahkan hudud yang diperintahkan oleh Allah swt supaya dilaksanakan. Betapa sombong dan angkuhnya manusia apabila menolak hudud yang didatangkan oleh Allah swt untuk manusia seluruhnya. Mengapa manusia tidak menolak kehidupan di dunia ini sekiranya tidak menerima hudud, sedangkan segala nikmat serta kehidupan di dunia ini adalah anugerah Allah swt. 

Segolongan manusia mempersenda serta memperlekeh hudud sebagai penghalang terhadap kemajuan, ada yang menyerang habis-habisan sebagai modal politik untuk mendapat sokongan. Sekiranya hudud itu diserang, natijahnya golongan itu telah memukul gendang perang terhadap Allah swt. Inilah yang berlaku terhadap Fir'aun, ketika mana ia mengatakan kepada Musa a.s. bahawa Fir'aun telah membunuh Allah swt dengan melepaskan anak panahnya ke langit dan anak panah itu jatuh balik dengan berlumuran darah, lalu Fir'aun mengatakan kepada Musa a.s., 'nah lihatlah wahai Musa, Tuhanmu telah ku bunuh'. 

Memperlekeh dan mempersenda hudud samalah nilainya dengan mempersenda Allah swt, tetapi manusia tidak menyedari bahawa diri mereka itu sendiri adalah dijadikan oleh Allah swt, lalu begitu angkuh dan sombong menolak hudud. Seorang ahli ibadah Ibrahim Adham, menyatakan kepada murid-muridnya; "sekiranya kamu tidak mahu sujud dan tunduk kepada Allah swt, maka tinggalkanlah dunia ini dan buatlah dunia kamu sendiri, janganlah kamu hirup udara dan memakan tumbuh-tumbuhan yang ditumbuhkan oleh Allah swt di muka bumi ini."

Oleh itu, pihak persatuan menyokong penuh gesaan ABIM Pusat yang mendesak agar Datuk Seri Chua Soi Lek memohon maaf terhadap umat Islam atas tindakan beliau menghina hudud. Sepatutnya beliau lebih memahami sensitiviti umat Islam negara ini dan mengelak dari mempolitikkan hudud yang mana beliau sendiri tidak memahami tentang keperluan hudud terhadap umat Islam. Keharmonian bernegara sewajarnya lebih diutamakan berbanding kecelaruan pemikiran politik yang sempit serta jumud.

1 comment:

  1. Ingin membicarakan soal hudud perlukan ilmu. Jika tiada ilmu, saya sendiri tidak berani Mempersoalkan hukum Allah. Samada ia dilaksanakan atau tidak dilaksanakan, itu hak pihak berkuasa. Kita sebagai masyarakat apakah yang patut kita lakukan? Sebaiknya tanamkanlah ke dalam hati dan berdoa supaya hukum Allah berjaya ditegakkan tidak kira dalam keadaan apa sekalipun. Kerana suatu hari nanti kita akan mati dan akan dihisab.

    ReplyDelete