Powered By Blogger

Monday 29 August 2011

MENYANTUNI GOLONGAN MARHAEN DI KG TAMBILAUNG, KB


Pada 28 Ogos 2011, Pihak PAGISA telah mengunjungi masyarakat Islam di Kg. Tambilaung, Kota Belud di mana penduduk kampung ini terdiri daripada masyarakat Bajau dan Iranun. Pihak persatuan yang diketuai oleh Setiausaha Agung, Sdr Milus Alu dan Sdr Ladim Hj. Abd. Rahman serta Sdr Mohd Nur Hilmie Milus selaku Setiausaha ABIM Sabah telah menyerahkan sedikit bantuan kepada 7 orang penduduk kampung tersebut. Sebelum itu, pada sebelah paginya Sdr Ladim Hj Abd Rahman telah menyampaikan sumbangan kepada 8 orang penduduk fakir/miskin di Kg. Merabau, Kota Belud.

Ketika mana sumbangan diserahkan dari rumah ke rumah, didapati para penerima tersebut terdiri daripada penduduk miskin tegar dan sebahagiannya hidup bersendirian di rumah masing-masing yang amat dhaif. Mereka ini juga bergantung penuh kepada sumbangan yang diterima setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM300.00. Di antara mereka itu ada yang menghidap penyakit kronik seperti batuk kering, retak tulang belakang dan sakit tua.


Untuk menambah pendapatan bulanan bagi menampung kehidupan seharian dengan kenaikan harga barang makanan, mereka terpaksa mencari rebung dan dijual ke Tamu Kota Belud. Selain itu ada juga yang terpaksa ke sungai menangkap ikan walaupun kesihatan tidak mengizinkan, namun demi untuk hidup terpaksa juga digagahi. Inilah perjuangan besar bagi golongan marhaen yang sentiasa bertarung dengan hidup walaupun kesihatan mereka kurang memuaskan, tetapi mereka tetap gembira dengan suasana itu.

Ziarah itu berakhir lebih kurang jam 4.00 petang, dan kami singgah di Masjid Pandasan untuk solat Asar. Selepas itu kami singgah di Kg. Keguran untuk menyampaikan sumbangan kepada satu keluarga di kampung tersebut. Alhamdulillah misi kami pada hari itu berjalan dengan lancar, semoga sumbangan yang tidak seberapa itu dapat meringankan beban mereka.

Disediakan oleh,
Setiausaha Agung

JELAJAH IHYA' RAMADHAN KE KG SARANG, KB.

Siri Jelajah Ihya' Ramadhan seterusnya telah berlangsung di Kg. Sarang, Kota Belud pada 27 Ogos 2011, yang jaraknya dari pekan Kota Belud lebih kurang 35 kilometer ke utara, jalan Kudat. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit dengan mengharungi bukit-bukau banjaran Crooker serta melintasi tanah yang menjadi isu masa kini di Kota Belud iaitu tanah simpanan Kg. Rampayan Ulu.


Rombongan jelajah ini diketuai oleh Datu Matlan Datu Unjong selaku Presiden PAGISA berserta dengan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah yang turut serta adalah Abu Aslam, selaku Timbalan Pengerusi dan juga ABIM Daerah Kota Belud.Ahli rombongan yang serta lebih kurang 15 orang dan tiba di Kg. Sarang lebih kurang pukul 4.45 petang.


Majlis  dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada para penerima fakir/miskin. Sumbangan telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAGISA Sdr Abdul Razak Hj. Rakunman kepada para penerima seramai 16 orang. Selepas penyerahan sumbangan, satu tazkirah telah disampaikan oleh Setiausaha Agung PAGISA dengan tajuk 'Madrasah Ramadhan: Medan Perubahan', seterusnya berbuka puasa, solat Maghrib dan jamuan makan. Solat sunat Tarawih juga turut dilaksanakan bersama jemaah kampung tersebut.


Komposisi penduduk di kampung ini terdiri daripada kaum Iranun, Dusun dan Bajau. Walaupun majoriti penduduk di Kg. Sarang ini adalah Dusun, namun keharmonian kaum amat intim dan akrab. Sebahagian kaum Dusun boleh bertutur dengan bahasa Iranun dan begitu juga orang Iranun boleh bertutur dengan bahasa Dusun.

Dari segi demografinya, kaum Iranun tinggal berhampiran dengan pantai dan kebanyakan mereka adalah  nelayan kecil sejak zaman berzaman. Melihat kepada corak kehidupan masyarakat di kampung ini, mereka bergantung penuh kepada laut dan hasil pertanian. Masyarakat di sini masih lagi bergelut dengan kemiskinan kerana corak kehidupan yang kurang memuaskan untuk menyara keluarga yang ramai.


Pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk kampung terutama Ketua Kampung iaitu KK Sungkit Hj. Batong yang sudi menerima kami sebagai tetamu. Insya Allah Ramadhan tahun kalau diizinkan Allah SWT, kami akan datang berkunjung lagi. Moga Allah SWT menerima segala amal kita.


Oleh

Setiausaha Agung

Friday 26 August 2011

SIRI JELAJAH IHYA' RAMADHAN




Dalam ucapan itu, Presiden menekankan konsep Infak sempena ‘Ramadhan al-Mubaraq’ ini bagi menghayati kesuciannya serta sikap bermurah hati dan konsep ‘watha a wanu ‘alal birry wataqwa’ wala tha a wanu ‘alal ismi wal wudwan', iaitu tolong menolong dalam berbuat kebaikan dan janganlah bertolong-tolongan dalam kemungkaran. Bulan Ramadhan ini merupakan ‘madrasah' yang akan menuntut kita belajar serta diajar untuk merasai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada kita.


Majlis juga diteruskan dengan berbuka puasa bersama-sama dengan Jawatankuasa Masjid serta para penerima bantuan. Selepas itu solat Maghrib dan solat Isyak serta solat Witir dengan diselangi ‘tazkirah’, dan seterusnya menikmati moreh beramai-ramai.


Pihak PAGISA juga turut mendengar rintihan masyarakat kampung yang terlalu sedih kerana Masjid Kg. Pantai Emas ini sudah terlalu uzur, di mana struktur bangunannya dimakan anai-anai dan amat berbahaya kepada para jemaah. Perkara ini telah diajukan kepada pihak atasan, namun setakat ini belum ada respon daripada pihak atasan. Jawatankuasa Masjid ini merasa sedih kerana mereka merasa amat disisihkan untuk diberi peruntukan penaiktarafan, tidak seperti masjid lain.


Menurut Imam Qariah En. Amar Umpok, beliau telah membincangkannya dengan Wakil Rakyat Usukan YB Datuk Japlin Akin serta pihak Pegawai Daerah, setakat ini belum ada respon positif, dan apa yang berlaku adalah pemantauan oleh pihak JHEAINS. Keputusan yang diperoleh menyatakan belum ada peruntukan. Menurut Imam tersebut perkara ini sudah diajukan juga dengan pihak YB Datuk Abdul Rahman Hj. Dahlan Ahli Parlimen Kota Belud serta Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, YB Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said.


Pihak persatuan memohon kepada semua pihak agar dapat mengambil tindakan terhadap perkara ini di mana penaiktarafan masjid ini sangat-sangat diperlukan. Menurut Imam Qariah, masjid ini sentiasa ada aktiviti terutama pada sebelah malam, di mana para jemaah akan hadir untuk solat Maghrib dan Isyak serta pada malam Jumaat ada program bacaan Yasin. Setiap tahun masjid ini akan selalu menjalankan kursus-kursus fardhu kifayah serta fardhu ‘ain. Beberapa pertubuhan NGO juga turut mengadakan aktiviti di masjid ini. Bagi pihak Jawatankuasa, amat merasa malu dengan kedaifan masjid ini yang tidak dapat memberikan keselesaan kepada para jemaah tempatan serta jemaah luar yang sering berkunjung.


Setelah beramah mesra dengan para jemaah, majlis pun bersurai dan bagi pihak persatuan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Masjid yang sudi menerima kami. Insya Allah tahun hadapan pada bulan yang sama, kami akan datang lagi.

Monday 22 August 2011

Program Ihya' Ramadhan dan Penyerahan Bantuan

Program Ihya' Ramadhan ini merupakan program lanjutan dari tahun lepas lagi, tapi pada masa itu kita buat di Kg. Pantai Emas, Kota Belud dan 10 orang fakir dan miskin telah menerima bantuan Ihya' Ramadhan. Kali ini PAGISA, ABIM dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah telah memilih Kg. Lasau Takolong, Kota Belud sebagai destinasi awal. Seramai 20 orang penerima yang terdiri daripada saudara baru dan fakir/miskin telah menerima bantuan.

Program ini telah berlansung pada 20 Ogos 2011 hari Sabtu, rombongan ini diketuai oleh Sdr Razak Rakunman selaku Tim. Presiden, bagi pihak ABIM Sabah Sdr Mohd. Nur Hilmie Milus selaku Setiausaha ABIM Negeri manakala pihak Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, Sdr Abu Aslam Hj. Abdullah sebagai Tim. Pengerusi.

Sumbangan adalah diperolehi daripada para dermawan yang sudi menyumbang untuk memuliakan lagi bulan Ramadhan dan penyumbang utama adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah. Hasil sumbangan setiap individu ini telah diagih-agihkan kepada masyarakat Islam yang berkeperluan sebagai meringankan beban serta mudah-mudahan mereka juga akan bergembira menyambut hari lebaran yang akan menjelang tiba.

Sebelum penyampaian bantuan tersebut, acara tazkirah telah disampaikan serta pengagihan ubat kepada masyarakat yang datang pada masa itu. Selepas itu, barulah penyerahan bantuan dilaksanakan dan dikuti berbuka puasa beramai-ramai serta solat Maghrib, Isyak dan seterusnya solat Tarawikh di Masjid Kg. Lasau Takolong.


Sebelum ini pun penyampaian turut dibuat di Kg. Tamau, Kota Belud dan sumbangan kepada Masjid Kg. Rampayan Ulu.

Program ini sebenarnya bertujuan menghidupkan amalan berderma kepada fakir miskin yang menjadi amalan para rasul dan ulama-ulama terdahulu. Para dermawan silam amat-amat menjiwai keperitan serta penderitaan masyarakat terutama kemiskinan yang menimpa. Kerana Islam itu dibina atas dasar persaudaraan, maka itu mereka mengamalkannya, di mana keperitan saudaranya merupakan keperitan dirinya sendiri sebagaimana yang berlaku kepada para sahabat Nabi SAW seperti Ali Abi Thalib, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Uthman Ibn Affan.

Mudah-mudahan Ramadhan ini menjadi madrasah kita semua untuk belajar pelbagai keistimewaannya serta kelebihan yang terkandung di dalamnya. Sewajarnya kita mempelajari serta menikmati kemuliaan Ramadhan ini agar ianya memberi kekuatan kepada kita semua.

Saturday 13 August 2011

RESOLUSI FORUM SYARIAH DAN CABARAN SEMASA DI MASJID NEGERI SABAH 18 REJAB 1427H/13 OGOS 2006


Kami, yang berkumpul di Masjid Negeri Sabah pada hari ini seramai 1500 orang untuk membincangkan cabaran semasa dalam pelaksanaan sistem undang-undang syariah di negara dan negeri ini menyatakan rasa bimbang terhadap usaha-usaha terancang pihak yang sedang cuba meminggirkan kedudukan Islam dalam sistem kenegaraan. Usaha-usaha ini merupakan satu langkah untuk membelakangkan hakikat sejarah semenjak ratusan tahun yang lalu di mana hukum syarak diterima pakai dalam kehidupan individu dan masyarakat terbesar negara ini.

Kedudukan istimewa Islam merupakan elemen penting dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara dan negeri. Hal ini merupakan hak asasi umat Islam di Malaysia. Jika dasar ini diganggu-gugat ia mampu menimbulkan pelbagai kesan negatif dalam masyarakat. Oleh itu, formula yang sedia ada dan telah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini, harus dipertegaskan dan diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu untuk Forum Syariah dan Cabaran Semasa pada 13 Ogos 2006 bersetuju dengan resolusi berikut:

1. Menggesa Kerajaan Negeri Sabah menguatkuasakan undang-undang Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah yang berkaitan dengan isu murtad dan seumpamanya dengan lebih tegas dan bersungguh-sungguh.

2. Menggesa Kerajaan Negeeri Sabah mempercepatkan penubuhan dan pewartaan Pusat Pemulihan Aqidah sebagai ppusat tahanan selaras dengan keperluan dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

3. Meminta pihak kerajaan memasukkan peruntukan dalam undang-undang Negeri Sabah berhubung hukuman bagi sesiapa yang didapati mendakyah agama lain kepada orang Islam untuk menukar agama.

4. Menggesa agar satu sistem pemantauan gejala murtad dilaksanakan oleh pihak berwajib.

5. Menggesa masyarakat Islam mengawasi kegiatan mendakyah agama lain kepada masyarakat Islam, manakala pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera dan jika sabit kesalahan hukuman perlu diambil.

6. Meminta kerajaan menubuhkan segera institusi/pusat yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak-anak mangsa murtad. Pada masa yang sama pusat ini akan mendapat menampung keperluan saudara baru.

7. Meminta kerajaan menubuhkan Pusat Rakan Sebaya Islam yang mengendalikan persoalan remaja dan isu-isu kepemudaan agar ada tempat bimbingan yang menjiwai isu-isu berkaitan.

8. Menggesa pihak kerajaan untuk menaik-taraf pengiktirafan akademik institut/kolej latiahan dakwah yang sudah sedia ada agar dapat melahirkan kader-kader da'wah yang berketrampilan. Hal ini akan menyumbang dengan lebih bermakna kepada kerja-kerja da'wah di negeri ini.

9. Meminnta kerajaan menubuhkan Pusat Kajian Islam Sabah (seperti IKIM) agar satu pengkajian yang sistematik untuk membela, memperkukuhkan kedudukan Islam serta memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam.

10. Menggesa Kerajaan Malaysia menerusi Parlimen meminda perlembagaan bertujuan memperjelaskan kekeliruan tafsiran berhubung Artikel 11.

11. Menyeru semua masyarakat Islam mengambil peluang, ruang dan kesempatan untuk terlibat secara bersungguh-sungguh mengembangkan agama Islam.

12. Semua masyarakat Islam perlu memberi perhatian serius kepada institusi keluarga masing-masing. Masyarakat Islam perlu bekerja secara kolektif dan komprehensif untuk memperkukuhkan sistem pendidikan yang Islami berpaksikan aqidah yang sebenar.

Kami juga mendokong resolusi dan ketetapan NGOs Islam pada peringkat kebangsaan, menyeru seluruh umat Islam bersatu dalam mempertahankan kedudukan Islam yang sedang diancam. Justeru itu kami turut bersetuju bahawa:

1. Semua peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang di peringkat negeri dan Persekutuan yang berkaitan dengan Islam perlu diperkukuhkan untuk menutup semua ruang yang menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan kedudukan Islam.

2. Setiap ancaman terhadap Islam adalah bermakna ancaman teerhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

3. Menuntut agar dihentikan segera percubaan usaha merombak dan menghakis kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Mana-mana ketidakpuasaan hati berkenaan dengan Islam harus disalurkan ke meja rundingan dengan pihak-pihak yang berautoriti. Pendekatan konfrontasi dan pertikaian mahkamah hanya akan mengakibatkan ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat.

4. Menuntut media aliran perdana dalam negara perlu memberi ruang kepada pihak Islam untuk menyuarakan pendapat mereka dan tidak lagi meminggirkan suara arus perdana ("mainstream") Islam. Media aliran perdana mestilah bersikap profesional dan beretika dalam laporan dan analisa mengenai Islam.

5. Hak dan kebebasan beragama perlu difahami dalam ruanglingkup Islam, bukannya mengikut kecenderungan individu. Faham kebebasan dan hak asasi acuan sekular-liberal adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

6. Menggesa Parlimen Malaysia hendaklah memperuntukkan hukuman bagi sesiapa yang menjalankan dakyah agama lain kepada umat Islam dan manakala pihak berkuasa hendaklah melaksanakan enakmen/akta berkenaan dengan tegas.

7. Menggesa Kerajaan untuk menolak usaha-usaha Barat dan badan-badan bukan kerajaan yang bersekongkol dan menggunakan NGO tempatan, ahli-ahli akademik dan orang perseorangan untuk mempengaruhi polisi dan undang-undang berkaitan orang Islam.

Dikeluarkan oleh


MUDDIN BETING
Yang Dipertua ABIM Sabah
Merangkap Pengerusi NGO Islam Sabah.


Berikut adalah pertubuhan bukan kerajaan yang telah hadir dan menerima resolusi FORUM SYARIAH DAN CABARAN SEMASA DI MASJID NEGERI SABAH 13 OGOS 2006/18 REJAB 1427H

1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
2. Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA)
3. Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) Sabah
4. Yayasan Amal Malaysia
5. Persatuan Ulama' Malaysia
6. Jamaah Islah Malaysia (JIM) Sabah
7. Persatuan Peguam Muslim Sabah
8. Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Cawangan Sabah
9. Persatuan Komuniti Bugis Kota Kinabalu (KECAPI)
10. Persatuan SAMA Sabah
11. Persatuan Bisaya Bersatu Sabah
12. Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA)
13. Persatuan Siswazah Islam Sabah
14. Persatuan Siswazah Sabah
15. PERTIWISA
16. Persatuan Islam Petronas Cawangan Sabah
17. Teratak Fitrah
18. Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islam Malaysia
19. Pertubuhan Silat Sendeng Malaysia (PSSSM) Sabah
20. Persatuan Perkhidmatan Taman Asuhan Kanak-Kanak Sabah
21. Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah
22. Jawatankuasa Masjid An-Nur Taman Putera Jaya, Telipok
23. Jawatankuasa Majid Kampung Jawi-Jawi Kota Belud
24. Persatuan Pidato Pertama Melayu, Sabah
25. Jawatankuasa Surau Kolombong, Penampang
26. Jawatankuasa Masjid Daerah Tuaran
27. Jawatankuasa Masjid Daerah Tamparuli
28. Majlis Guru Agama daerah Penampang
29. Jawatankuasa Masjid SMK Likas
30. Jawatankuasa Pusat Islam Politeknik Kota Kinabalu
31. Jawatankuasa Masjid Kampung Lapasan
32. Jawatankuasa Surau BERNAS Kolombong.

Resolusi ini telah dikemukakan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Datuk Haji Ahmadshah Abdullah, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertuan Negeri Sabah, oleh Gabungan Bukan Kerajaan (NGOs) Islam Sabah pada 27 Syaaban 1427H / 20hb September 2006, di Istana Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Beberapa Visi dan Misi PAGISA

MANDAT

Resolusi Seminar MAGISA pada 17 Mei 2003
Perlembagaan Persatuan Graduan Iranun Sabah PAGISA (Sabah)

VISI

Menjadi entiti pertubuhan yang berwibawa dan berkualiti

MISI

Untuk menggembleng dan mengharmonikan minda, tenaga, dan kepakaran ahli melalui kepemimpinan berhikmah dan pengurusan berwibawa serta boleh menggunakan segala sumber secara berkesan yang berpaksikan Islam

MATLAMAT

Wadah penyatu graduan di Sabah

Memandu masyarakat Iranun dalam menaikkan taraf sosio-ekonomi, pendidikan, dan budaya yang mempunyai nilai-nilai yang baik selaras dengan syariat Islam

Menjadi agen perubah, penggerak, dan penjana masyarakat Iranun yang madani; dan

Memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Iranun dan masyarakat Malaysia amnya, selaras dengan Dasar Perpaduan Nasional.

Sejarah Penubuhan Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA)






Idea menubuhkan persatuan graduan Iranun dicetuskan oleh Allahyarham Dr Hj Datu Bandira Datu Alang menerusi perbincangan secara tidak formal bersama beberapa rakan penaja persatuan. Setelah diperhalusi dan ditelliti idea tersebut beberapa inisiatif telah diambil bagi merealisasikan cadangan ini.


Antara usaha bagi merealisasikan idea besar ini ialah "Seminar Majlis Graduan Iranun Sabah" yang berlangsung di Dewan Seminar SESB, Kota Kinabalu pada 17 Mei 2003. Seminar tersebut telah mengambil beberapa resolusi yang menjadi justifikasi kepada penubuhan sebuah persatuan yang bertindak sebagai Kumpulan Pemikir, iaitu:

1. Pendidikan dan Dakwah
a) Mempertingkatkan kempen terhadap kepentingan pendidikan
b) Mencadangkan penubuhan sebuah kolej Iranun; dan
c) Meningkatkan kesedaran dan amalan Islam di kalangan masyarakat Iranun dalam kehidupan seharian

2. Ekonomi
Mencadangkan penubuhan perbadanan Pembangunan Iranun Sabah (Sabah Iranun Development Corporation)

3. Sosial
Memulihara norma dan budaya Iranun yang tidak bercanggah dengan Islam

Seramai lebih kurang 100 orang graduan dan bukan graduan telah menghadiri seminar itu. Dua kertas kerja telah dibentangkan, iaitu, "Iranun dalam konteks Rantau Melayu; Harapan dan Hala Tuju", oleh Dr Hj Datu Bandira Datu Alang dan "Islam sebagai Asas Pembangunan Masyarakat Iranun", oleh Ustaz Awang Laiman Hj Ekin.

Seminar yang julung kali diadakan itu menjadi katalis kepada kelahiran PAGISA (Sabah). Dalam mesyuarat 'After Action Review' yang diadakan pada 19 Mei 2003, semua ahli mesyuarat sepakat mengambil ketetapan untuk membentuk jawatan kuasa penaja. Jawatan kuasa tersebut dikenali sebagai Jawatan Kuasa Majlis Graduan Iranun Sabah atau MAGISA.

Mengapa MAGISA? Magisa (Bahasa Iranun katuata kerja) bermaksud bersatu atau berpadu, iaitu usaha membentuk satu kesatuan yang utuh dan mantap. Justeru MAGISA diharap akan menjadi wadah yang dapat mengharmonikan variasi pemikiran dan kepakaran para graduan Iranun.

Awal tahun 2004, Jawatan Kuasa Penaja telah mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Sabah (JPPNS). Namun, permohonan tersebut ditolak oleh JPPNS dengan alasan MAGISA boleh didaftarkan hanya apabila penubuhan cawangan. memikirkan kehendak peraturan, maka perkataan 'Majlis' telah ditukarkan kepada 'Persatuan' Persatuan Graduan Iranun Sabah [PAGISA (Sabah)].

'Pagisa' (Bahasa Iranun kata kerja) bermaksud usaha-usaha yang dilakukan oleh beberapa individu untuk membentuk kesatuan atau perpaduan. Dengan kata lain antara MAGISA dan PAGISA mendukung makna yang sama.

Pada 28 Mac 2005 pertubuhan ini telah diluluskan pendaftarannya oleh JPPNS atas nama PAGISA (Sabah). Oleh hal yang demikian, bermulalah era pertubuhan ini sebagai sebagai satu entiti yang meletakkan kepentingan budaya beragama dalam pembinaan bangsa madani.

oleh

Presiden
Datu Matlan Datu Unjong