Program Ihya' Ramadhan ini merupakan program lanjutan dari tahun lepas lagi, tapi pada masa itu kita buat di Kg. Pantai Emas, Kota Belud dan 10 orang fakir dan miskin telah menerima bantuan Ihya' Ramadhan. Kali ini PAGISA, ABIM dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah telah memilih Kg. Lasau Takolong, Kota Belud sebagai destinasi awal. Seramai 20 orang penerima yang terdiri daripada saudara baru dan fakir/miskin telah menerima bantuan.
Program ini telah berlansung pada 20 Ogos 2011 hari Sabtu, rombongan ini diketuai oleh Sdr Razak Rakunman selaku Tim. Presiden, bagi pihak ABIM Sabah Sdr Mohd. Nur Hilmie Milus selaku Setiausaha ABIM Negeri manakala pihak Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, Sdr Abu Aslam Hj. Abdullah sebagai Tim. Pengerusi.
Sumbangan adalah diperolehi daripada para dermawan yang sudi menyumbang untuk memuliakan lagi bulan Ramadhan dan penyumbang utama adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah. Hasil sumbangan setiap individu ini telah diagih-agihkan kepada masyarakat Islam yang berkeperluan sebagai meringankan beban serta mudah-mudahan mereka juga akan bergembira menyambut hari lebaran yang akan menjelang tiba.
Sebelum penyampaian bantuan tersebut, acara tazkirah telah disampaikan serta pengagihan ubat kepada masyarakat yang datang pada masa itu. Selepas itu, barulah penyerahan bantuan dilaksanakan dan dikuti berbuka puasa beramai-ramai serta solat Maghrib, Isyak dan seterusnya solat Tarawikh di Masjid Kg. Lasau Takolong.
Sebelum ini pun penyampaian turut dibuat di Kg. Tamau, Kota Belud dan sumbangan kepada Masjid Kg. Rampayan Ulu.
Program ini sebenarnya bertujuan menghidupkan amalan berderma kepada fakir miskin yang menjadi amalan para rasul dan ulama-ulama terdahulu. Para dermawan silam amat-amat menjiwai keperitan serta penderitaan masyarakat terutama kemiskinan yang menimpa. Kerana Islam itu dibina atas dasar persaudaraan, maka itu mereka mengamalkannya, di mana keperitan saudaranya merupakan keperitan dirinya sendiri sebagaimana yang berlaku kepada para sahabat Nabi SAW seperti Ali Abi Thalib, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Uthman Ibn Affan.
Mudah-mudahan Ramadhan ini menjadi madrasah kita semua untuk belajar pelbagai keistimewaannya serta kelebihan yang terkandung di dalamnya. Sewajarnya kita mempelajari serta menikmati kemuliaan Ramadhan ini agar ianya memberi kekuatan kepada kita semua.