Powered By Blogger

Saturday 13 August 2011

RESOLUSI FORUM SYARIAH DAN CABARAN SEMASA DI MASJID NEGERI SABAH 18 REJAB 1427H/13 OGOS 2006


Kami, yang berkumpul di Masjid Negeri Sabah pada hari ini seramai 1500 orang untuk membincangkan cabaran semasa dalam pelaksanaan sistem undang-undang syariah di negara dan negeri ini menyatakan rasa bimbang terhadap usaha-usaha terancang pihak yang sedang cuba meminggirkan kedudukan Islam dalam sistem kenegaraan. Usaha-usaha ini merupakan satu langkah untuk membelakangkan hakikat sejarah semenjak ratusan tahun yang lalu di mana hukum syarak diterima pakai dalam kehidupan individu dan masyarakat terbesar negara ini.

Kedudukan istimewa Islam merupakan elemen penting dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara dan negeri. Hal ini merupakan hak asasi umat Islam di Malaysia. Jika dasar ini diganggu-gugat ia mampu menimbulkan pelbagai kesan negatif dalam masyarakat. Oleh itu, formula yang sedia ada dan telah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini, harus dipertegaskan dan diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu untuk Forum Syariah dan Cabaran Semasa pada 13 Ogos 2006 bersetuju dengan resolusi berikut:

1. Menggesa Kerajaan Negeri Sabah menguatkuasakan undang-undang Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah yang berkaitan dengan isu murtad dan seumpamanya dengan lebih tegas dan bersungguh-sungguh.

2. Menggesa Kerajaan Negeeri Sabah mempercepatkan penubuhan dan pewartaan Pusat Pemulihan Aqidah sebagai ppusat tahanan selaras dengan keperluan dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

3. Meminta pihak kerajaan memasukkan peruntukan dalam undang-undang Negeri Sabah berhubung hukuman bagi sesiapa yang didapati mendakyah agama lain kepada orang Islam untuk menukar agama.

4. Menggesa agar satu sistem pemantauan gejala murtad dilaksanakan oleh pihak berwajib.

5. Menggesa masyarakat Islam mengawasi kegiatan mendakyah agama lain kepada masyarakat Islam, manakala pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera dan jika sabit kesalahan hukuman perlu diambil.

6. Meminta kerajaan menubuhkan segera institusi/pusat yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak-anak mangsa murtad. Pada masa yang sama pusat ini akan mendapat menampung keperluan saudara baru.

7. Meminta kerajaan menubuhkan Pusat Rakan Sebaya Islam yang mengendalikan persoalan remaja dan isu-isu kepemudaan agar ada tempat bimbingan yang menjiwai isu-isu berkaitan.

8. Menggesa pihak kerajaan untuk menaik-taraf pengiktirafan akademik institut/kolej latiahan dakwah yang sudah sedia ada agar dapat melahirkan kader-kader da'wah yang berketrampilan. Hal ini akan menyumbang dengan lebih bermakna kepada kerja-kerja da'wah di negeri ini.

9. Meminnta kerajaan menubuhkan Pusat Kajian Islam Sabah (seperti IKIM) agar satu pengkajian yang sistematik untuk membela, memperkukuhkan kedudukan Islam serta memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam.

10. Menggesa Kerajaan Malaysia menerusi Parlimen meminda perlembagaan bertujuan memperjelaskan kekeliruan tafsiran berhubung Artikel 11.

11. Menyeru semua masyarakat Islam mengambil peluang, ruang dan kesempatan untuk terlibat secara bersungguh-sungguh mengembangkan agama Islam.

12. Semua masyarakat Islam perlu memberi perhatian serius kepada institusi keluarga masing-masing. Masyarakat Islam perlu bekerja secara kolektif dan komprehensif untuk memperkukuhkan sistem pendidikan yang Islami berpaksikan aqidah yang sebenar.

Kami juga mendokong resolusi dan ketetapan NGOs Islam pada peringkat kebangsaan, menyeru seluruh umat Islam bersatu dalam mempertahankan kedudukan Islam yang sedang diancam. Justeru itu kami turut bersetuju bahawa:

1. Semua peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang di peringkat negeri dan Persekutuan yang berkaitan dengan Islam perlu diperkukuhkan untuk menutup semua ruang yang menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan kedudukan Islam.

2. Setiap ancaman terhadap Islam adalah bermakna ancaman teerhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

3. Menuntut agar dihentikan segera percubaan usaha merombak dan menghakis kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Mana-mana ketidakpuasaan hati berkenaan dengan Islam harus disalurkan ke meja rundingan dengan pihak-pihak yang berautoriti. Pendekatan konfrontasi dan pertikaian mahkamah hanya akan mengakibatkan ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat.

4. Menuntut media aliran perdana dalam negara perlu memberi ruang kepada pihak Islam untuk menyuarakan pendapat mereka dan tidak lagi meminggirkan suara arus perdana ("mainstream") Islam. Media aliran perdana mestilah bersikap profesional dan beretika dalam laporan dan analisa mengenai Islam.

5. Hak dan kebebasan beragama perlu difahami dalam ruanglingkup Islam, bukannya mengikut kecenderungan individu. Faham kebebasan dan hak asasi acuan sekular-liberal adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

6. Menggesa Parlimen Malaysia hendaklah memperuntukkan hukuman bagi sesiapa yang menjalankan dakyah agama lain kepada umat Islam dan manakala pihak berkuasa hendaklah melaksanakan enakmen/akta berkenaan dengan tegas.

7. Menggesa Kerajaan untuk menolak usaha-usaha Barat dan badan-badan bukan kerajaan yang bersekongkol dan menggunakan NGO tempatan, ahli-ahli akademik dan orang perseorangan untuk mempengaruhi polisi dan undang-undang berkaitan orang Islam.

Dikeluarkan oleh


MUDDIN BETING
Yang Dipertua ABIM Sabah
Merangkap Pengerusi NGO Islam Sabah.


Berikut adalah pertubuhan bukan kerajaan yang telah hadir dan menerima resolusi FORUM SYARIAH DAN CABARAN SEMASA DI MASJID NEGERI SABAH 13 OGOS 2006/18 REJAB 1427H

1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
2. Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA)
3. Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) Sabah
4. Yayasan Amal Malaysia
5. Persatuan Ulama' Malaysia
6. Jamaah Islah Malaysia (JIM) Sabah
7. Persatuan Peguam Muslim Sabah
8. Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Cawangan Sabah
9. Persatuan Komuniti Bugis Kota Kinabalu (KECAPI)
10. Persatuan SAMA Sabah
11. Persatuan Bisaya Bersatu Sabah
12. Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA)
13. Persatuan Siswazah Islam Sabah
14. Persatuan Siswazah Sabah
15. PERTIWISA
16. Persatuan Islam Petronas Cawangan Sabah
17. Teratak Fitrah
18. Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islam Malaysia
19. Pertubuhan Silat Sendeng Malaysia (PSSSM) Sabah
20. Persatuan Perkhidmatan Taman Asuhan Kanak-Kanak Sabah
21. Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah
22. Jawatankuasa Masjid An-Nur Taman Putera Jaya, Telipok
23. Jawatankuasa Majid Kampung Jawi-Jawi Kota Belud
24. Persatuan Pidato Pertama Melayu, Sabah
25. Jawatankuasa Surau Kolombong, Penampang
26. Jawatankuasa Masjid Daerah Tuaran
27. Jawatankuasa Masjid Daerah Tamparuli
28. Majlis Guru Agama daerah Penampang
29. Jawatankuasa Masjid SMK Likas
30. Jawatankuasa Pusat Islam Politeknik Kota Kinabalu
31. Jawatankuasa Masjid Kampung Lapasan
32. Jawatankuasa Surau BERNAS Kolombong.

Resolusi ini telah dikemukakan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Datuk Haji Ahmadshah Abdullah, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertuan Negeri Sabah, oleh Gabungan Bukan Kerajaan (NGOs) Islam Sabah pada 27 Syaaban 1427H / 20hb September 2006, di Istana Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment