Powered By Blogger

Sunday 11 December 2011

Hudud: Satu Tuntutan dan bukan Pilihan

Meneliti terhadap perkembangan hudud yang dipolimekkan sebagai agenda politik adalah amat bertentangan dengan kehendak asal perlaksanaan hudud di negara ini. Hakikatnya hudud adalah satu tuntutan atau kewajipan yang wajib ditunaikan dalam masyarakat Islam. Dalam al-Qur'an sendiri menjelaskan berkaitan keperluan hudud sebagai satu undang-undang. Penetapan Allah swt terhadap keperluan hudud merupakan manifestasi terhadap kehidupan bermasyarakat. Jaminan berkaitaan kehidupan sosial, politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan apa sahaja yang dikaitan dengan perjalanan hidup sebagai hamba serta mahkluk.

Umat Islam serta bukan Islam perlu memahami keperluan hudud sebagai penyelamat terhadap kehidupan itu sendiri. Allah swt lebih bijak berbanding dengan manusia yang cuba menafikan kehebatan hudud, dan paling malang adalah mempertikaikannya. Apalah kedudukan manusia yang cuba merendah-rendahkan hudud yang diperintahkan oleh Allah swt supaya dilaksanakan. Betapa sombong dan angkuhnya manusia apabila menolak hudud yang didatangkan oleh Allah swt untuk manusia seluruhnya. Mengapa manusia tidak menolak kehidupan di dunia ini sekiranya tidak menerima hudud, sedangkan segala nikmat serta kehidupan di dunia ini adalah anugerah Allah swt. 

Segolongan manusia mempersenda serta memperlekeh hudud sebagai penghalang terhadap kemajuan, ada yang menyerang habis-habisan sebagai modal politik untuk mendapat sokongan. Sekiranya hudud itu diserang, natijahnya golongan itu telah memukul gendang perang terhadap Allah swt. Inilah yang berlaku terhadap Fir'aun, ketika mana ia mengatakan kepada Musa a.s. bahawa Fir'aun telah membunuh Allah swt dengan melepaskan anak panahnya ke langit dan anak panah itu jatuh balik dengan berlumuran darah, lalu Fir'aun mengatakan kepada Musa a.s., 'nah lihatlah wahai Musa, Tuhanmu telah ku bunuh'. 

Memperlekeh dan mempersenda hudud samalah nilainya dengan mempersenda Allah swt, tetapi manusia tidak menyedari bahawa diri mereka itu sendiri adalah dijadikan oleh Allah swt, lalu begitu angkuh dan sombong menolak hudud. Seorang ahli ibadah Ibrahim Adham, menyatakan kepada murid-muridnya; "sekiranya kamu tidak mahu sujud dan tunduk kepada Allah swt, maka tinggalkanlah dunia ini dan buatlah dunia kamu sendiri, janganlah kamu hirup udara dan memakan tumbuh-tumbuhan yang ditumbuhkan oleh Allah swt di muka bumi ini."

Oleh itu, pihak persatuan menyokong penuh gesaan ABIM Pusat yang mendesak agar Datuk Seri Chua Soi Lek memohon maaf terhadap umat Islam atas tindakan beliau menghina hudud. Sepatutnya beliau lebih memahami sensitiviti umat Islam negara ini dan mengelak dari mempolitikkan hudud yang mana beliau sendiri tidak memahami tentang keperluan hudud terhadap umat Islam. Keharmonian bernegara sewajarnya lebih diutamakan berbanding kecelaruan pemikiran politik yang sempit serta jumud.

Monday 3 October 2011

KALAM PRESIDEN: PAGISA Terbuka Demi Memartabatkan Bangsa

  1. Mutakhir ini pelbagai komen terhadap PAGISA dibuat menerusi laman sosial (blog mahupun fb).  Komen-komen tersebut bersifat pro dan kontra. Begitu juga, intipatinya ada yang membina ingin melihat pertumbuhan PAGISA sebagai entiti yang berdaya saing dan tidak kurang yang pesimistik terhadap kewujudan PAGISA sebagai badan sukarela yang tidak berkepentingan dengan mana-mana entiti - melainkan berkepentingan terhadap kelangsungan survival Iranun sebagai komuniti yang pernah melakar tamadun yang disegani lagi digeruni di nusantara. 
  2. Selaku presiden yang dipilih dan dipertanggungjawab terhadap kelangsungan PAGISA berasa terpanggil untuk merakam ucap tahniah dan terima kasih kepada sahabat-sahabat AMT PAGISA yang bersungguh-sungguh menyebar luas peranan dan hala tuju persatuan ini sama ada menerusi laman-laman sosial mahupun wadah-wadah yang sedia ada.  Sesungguhnya, usaha ini perlu diteruskan tanpa noktahnya.  Usaha atau perjuangan perlu diteruskan walau badai kritik merempuh. Kita sesekali   tidak ingin melihat bangsa ini "dijaja" demi kepentingan peribadi.  Jangan hendaknya kita dipersalahkan oleh generasi pewaris kerana kita ternyata gagal mewarisi mereka suatu keampuhan bangsa dan jati diri utuh. Kita telah menyaksikan (mereka yang sempat) satu era yang mana masyarakat kita "ragu" dengan jati dirinya - malu, rendah diri, dan takut (terkadang bukan faktor seperti itu, tetapi kerendahan ilmunya).  Alhamdulillah, kini kita semua telah bangkit...dan akan terus bangkit.
  3. Oleh hal yang demikian, PAGISA hendaklah (bukan harus) sanggup menggalas "pemartabatan bangsa" (bersama-sama NGOs Iranun yang lain).  Semua NGO Iranun harus berusaha memahamkan seluruh anggota bangsa agar keutamaan diberikan kepada BANGSA (terasnya agama).  Justeru, semasa penganjuran sidang meja bulat yang lalutelah melibatkan semua NGO Iranun (terima kasih kepada PERISA, PISBA, BKI, KEBETA, dan KGI).
  4. Paradigma persatuan yang berprinsipkan keterbukaan harus diteruskan.  Setidak-tidaknya, apa yang diluahkan itu menjadi petunjuk keprihatinan mereka terhadap keberdayasaingan NGO ini.  Pada hemat saya, tak ada kepompong yang membelenggu corak dan budaya fikir ahli-ahli PAGISA.  Begitu juga gaya bertindak.  Apa yang dilaksanakan selama ini adalah hasil musyawwarah yang menjadi teras PAGISA.  Justeru, lontaran-lontaran yang dilempar itu, dihargai dan dialu-alukan - tanpa sedikitpun mengurang atau mematah semangat saya untuk terus memimpin PAGISA (selagi diperlukan).  Persepsi daripada golongan prihatin dan "kritikus", terkadang hanya melihat satu dimensi pemikiran semata; tanpa melihat secara komprehensif.  Walau bagaimanapun, begitulah gaya fikir manusia melainkan mereka ikhlas dan adil berfikir.
  5. Terkadang saya tersentak, apabila ada kritikan yang agak nakal mengatakan bahawa PAGISA diperguna dan diperkuda untuk kepentingan???  Janganlah ilmu yang dianugerahkan oleh Allah SWT itu digunakan dalam skala yang  sempit.  Saya ingin melihat keikhlasan dalam memperkata sesuatu isu - bukannya emotif.
  6. Insya-Allah, PAGISA akan menyediakan suatu medan ilmu untuk disalurkan segala pandangan secara berhemah dan membina.  Mungkin juga forum, seminar, mahupun sidang meja bulat.  Semua ini perlu diteliti secara bijaksana dari semua sudut - kos, kesan, penglibatan, dan yang lebih utama tindakan pasca program.  
  7. Harapan saya, hala tuju bangsa hendaklah mendasari budaya fikir dan budaya tindak. Kesampingkan, perkara-perkara remeh yang menghalang untuk kita bersatu.  Sesungguhnya, sejarah telah membuktikan bahawa kesepaduan itu adalah senjata yang paling ampuh untuk mencapai puncak kegemilangan.  Sebaliknya, sikap berpecah belah, prejudis, buruk sangka, dan ketamakan telah menyaksian keruntuhan banyak tamadun kuat.  Kebebasan berfikir dan berhujah perlu diurus sebaik-baiknya.  Tidak perlu semua yang kita kurang senang perlu diutarakan kerana mungkin pada ketika itu kita tidak menyenangi sesuatu isu, sebaliknya khalayak yang lebih banyak menerimanya dengan penuh jelas dan terbuka.
  8. Pada kesempatan ini, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dalam program "Sidang Meja Bulat:  Hala Tuju dan Cabaran Masyarat Iranun".
 Akhirul-Qalam, ucapan terima kasih dan syabas kepada Timbalan Presiden, Setiausaha, AMT, dan  sahabat-sahabat yang memahami aspirasi PAGISA.

Presiden PAGISA

Friday 30 September 2011

Harapan Besar Terhadap PAGISA: Satu Cabaran Baru

Sejak akhir-akhir ini, PAGISA sudah menjadi sasaran kritikan serta luahan emosi para penggiat Facebook (FB) di alam maya. Selaku Setiausaha PAGISA mengucapkan ribuan terima kasih atas pandangan serta kritikan tersebut, sewajarnyalah perkara itu dilakukan demi kebertanggungjawaban kita semua terhadap wadah ini, tanpa kita siapalah PAGISA? Baik buruk PAGISA adalah milik kita bersama.

Cuma ada ketikanya harapan kita mahu melihat PAGISA terlalu besar sukar dicapai kerana kekuatan sebenar yang kita ada tidak melambangkan sebagaimana harapan tersebut. PAGISA umpama sebuah sampan kecil yang hanya boleh memuatkan penumpang setakat 2 ke 3 orang sahaja, berbanding dengan sebuah kapal besar yang boleh memuatkan kontena-kontena besar. Namun dengan kekuatan yang sedia ada itu kita cuba juga belayar di tasik yang tenang.

PAGISA adalah sebuah pertubuhan yang disertai serta dipimpin oleh pelbagai golongan yang berlainan fikrah syiasah, dan melalui kepelbagaian ini kita cuba menyatukan fikrah-fikrah tersebut demi maslahat masyarakat secara umumnya. Kita menghormati idealogi politik masing-masing, kerana fahaman politik adalah milik individu tersebut dan orang lain tidak boleh mempertikaikannya. Berbeza bukan bererti kita berpecah dan bersatu bukan bererti kita bersama.

Hakikatnya PAGISA boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja yang berkeyakinan terhadap halatuju persatuan ini. PAGISA amat berbeza dengan parti-parti politik yang memerlukan sokongan kuat dan ahli yang ramai kerana parti politik mahukan kuasa, tetapi PAGISA bukan begitu sifatnya, ianya hanya pertubuhan sukarelawaan dan bukan mahukan kuasa dan terpaksa mengeluarkan biaya sendiri demi kelangsungan aktivitinya. Kadangkala PAGISA juga jadi pengemis kepada ahli sendiri, dan bukan mudah menjadi pengemis seperti mana para pengemis di jalanan, di mana para pengemis itu sendiri mempunyai kekuatan tersendiri sebagai pengemis. 

Kita amat menghargai segala kritikan serta pandangan tersebut dan kita yakin bahawa segala kritikan dan pandangan itu tandanya kita sayang kepada PAGISA. Harapan besar ini terlalu tinggi usahanya untuk direalisasikan dan memerlukan kekuatan semaksimanya. Kita berusaha sedaya-upaya yang termampu dengan usia seremaja ini, kita jauh lebih  kecil berbanding dengan PISBA, dan BKI. Persatuan PISBA dan BKI dipimpin oleh golongan veteran yang berpengalaman luas dan mempunyai hubungan rapat dengan para pemimpin negeri dan negara. Suara serta pandangan mereka lebih didengar berbanding dengan PAGISA, dan manakala para pemimpin PAGISA adalah generasi baru. 

Kita berusaha membina kekuatan sendiri dengan menggabungkan diri dalam CORNCEN iaitu Gabungan Persatuan Beraspirasikan Islam di Sabah. Melalui gabungan inilah PAGISA cuba mencari kekuatan bersama dengan persatuan-persatuan lain. PAGISA hanya tumpang sekaki dengan persatuan tersebut, contohnya dalam program 'Ihya Ramadhan yang lalu, PAGISA hanya menyampaikan sumbangan tersebut di samping sumbangan para sahabat-sahabat yang lain yang sudi bersedekah sempena bulan mulia dan para penyumbang tersebut bukan sahaja orang Iranun tetapi rakan-rakan dari bangsa lain. Namun sumbangan itu banyak kita sasarkan kepada masyarakat Iranun yang layak menerima bantuan.

Para pemimpin PAGISA juga adalah manusia biasa yang terpaksa mengagih-agihkan masa kepada keluarga, kerjaya sebagai penjawat awam atau sebagai usahawan, kegiatan politik masing-masing serta kegiatan sosial seperti sukan. Kekangan ini menjadikan tumpuan 100% kepada PAGISA tidak berlaku sepenuhnya. Masing-masing mempunyai agenda tersendiri yang terpaksa ditunaikan terutama bila melibatkan jabatan dan keluarga.

Dalam hal ini, kita perlu bantu-membantu, tolong-menolong, berlapang dada, berfikiran terbuka, memahami keupayaan orang lain serta berusaha bersama memperkasa persatuan ini. Meletakkan harapan tinggi terhadap persatuan ini amat dihargai, namun bukan semua yang kita harapkan boleh ditunaikan oleh persatuan ini. Sekiranya kita meletakkan harapan besar dan tidak dapat ditunaikan, maka kita akan kecewa seterusnya kita membenci. Contohnya meletakkan harapan untuk menyelesaikan masalah pengangguran kepada PAGISA. 

Seharusnya kita menyedari bahawa PAGISA bukan satu kerajaan yang boleh menyediakan peluang-peluang pekerjaan, namun dalam kalangan pimpinan PAGISA juga telah berusaha menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan Iranun, dan antaranya syarikat Abu Aslam yang hampir 70% pekerjanya adalah para belia Iranun, begitu juga Sdr Tadjul yang berusaha membantu melalui jabatan beliau, dan Upakat Sdn Bhd yang turut menyumbang dan yang lain-lainnya. Cuma bukan semua graduan kita dapat tampung serta bukan semua graduan Iranun mempunyai kepakaran dalam bidang yang diperlukan, seperti bidang farmasi. Contoh lain Syarikat KB Plantation Holding dan Pemborong Kota Raya mereka juga ada menyediakan peluang pekerjaan, tetapi sebagai buruh kasar atau tukang potong rumput. Namun kita menghargai sumbangan mereka ini, walaupun kecil tetapi telah membantu.

Kadangkala juga peluang yang ada tidak bersesuian dengan akademik para graduan, dan ada juga graduan yang memilih pekerjaan. Hal-hal seperti ini mejadi halangan  bagi kita menyelesaikan masalah ini, sewajarnya persoalan seperti ini dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab seperti pihak kerajaan dan bila melibatkan kerajaan, maka wujud persaingan dengan masyarakat lain. Kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya kepada negara ini tidak kira suku kaum dan agama.

Namun begitu, pihak persatuan mencuba sedaya-upaya yang termampu untuk memenuhi tanggungjawab sosial ini. Kita cuba mengusahakan penubuhan Kesatuan Peniaga-Peniaga Iranun (KPPI atau KESAPI) bagi membantu mengurangkan masalah ini. Bagi merealisasikannya memerlukan kekuatan untuk memanggil semua para usahawan Iranun tersebut. Idea ini pernah kita lontarkan sebagai 'test market', dan kita dapati ada suara-suara pro dan kontra. Oleh itu, berilah masa kepada PAGISA untuk merealisasikannya serta support sepenuhnya. Suatu ketika Allahyarham Dr. Datu Bandira diberi tanggungjawab dalam PAGISA khususnya ekonomi, kita telah memanggil para pimpinan PAGISA, tetapi yang hadir hanya lima orang sedangkan bilik sudah ditempah di Pejabat Ko-Nelayan.  

Inilah cabaran kita dalam PAGISA untuk menyatukan segala kekuatan dalam kepelbagaian ini. Kita memerlukan masa serta kondisi yang baik bagi melaksanakan sesuatu program. Merencana program adalah amat mudah, tetapi bila tiba kepada peringkat melaksana, amat payah kerana kita terpaksa memikirkan kosnya, tenaganya, tempatnya, dan sasarannya. Jabatan kerajaan yang mempunyai dana yang cukup pun kadang-kadang menghadapi masalah yang sama. 

Harapan PAGISA ialah sokongan dan dukungan kita semua dalam merencana dan melaksana agenda sebenar persatuan ini. Pihak pimpinan sentiasa menerima kritikan dari pelbagai pihak dan itulah lumrah sebagai pemimpin, dicerca dan dihina bila tidak digemari. Kita mersakan sesiapa sahaja yang menerajui PAGISA pasti akan menerima kritikan. Bahkan Allah swt yang menjadikan semua makhluk dan alam ini termasuk manusia, yang boleh menghidupkan dan mematikan turut diengkari manusia itu sendiri. Apa lagi pimpinan PAGISA yang ternyata lemah, kerdil dan kecil segala-galanya tidak menerima kritikan. Kita akan berusaha yang terbaik bersesuaian dengan keberdayaan PAGISA itu sendiri.

Monday 29 August 2011

MENYANTUNI GOLONGAN MARHAEN DI KG TAMBILAUNG, KB


Pada 28 Ogos 2011, Pihak PAGISA telah mengunjungi masyarakat Islam di Kg. Tambilaung, Kota Belud di mana penduduk kampung ini terdiri daripada masyarakat Bajau dan Iranun. Pihak persatuan yang diketuai oleh Setiausaha Agung, Sdr Milus Alu dan Sdr Ladim Hj. Abd. Rahman serta Sdr Mohd Nur Hilmie Milus selaku Setiausaha ABIM Sabah telah menyerahkan sedikit bantuan kepada 7 orang penduduk kampung tersebut. Sebelum itu, pada sebelah paginya Sdr Ladim Hj Abd Rahman telah menyampaikan sumbangan kepada 8 orang penduduk fakir/miskin di Kg. Merabau, Kota Belud.

Ketika mana sumbangan diserahkan dari rumah ke rumah, didapati para penerima tersebut terdiri daripada penduduk miskin tegar dan sebahagiannya hidup bersendirian di rumah masing-masing yang amat dhaif. Mereka ini juga bergantung penuh kepada sumbangan yang diterima setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM300.00. Di antara mereka itu ada yang menghidap penyakit kronik seperti batuk kering, retak tulang belakang dan sakit tua.


Untuk menambah pendapatan bulanan bagi menampung kehidupan seharian dengan kenaikan harga barang makanan, mereka terpaksa mencari rebung dan dijual ke Tamu Kota Belud. Selain itu ada juga yang terpaksa ke sungai menangkap ikan walaupun kesihatan tidak mengizinkan, namun demi untuk hidup terpaksa juga digagahi. Inilah perjuangan besar bagi golongan marhaen yang sentiasa bertarung dengan hidup walaupun kesihatan mereka kurang memuaskan, tetapi mereka tetap gembira dengan suasana itu.

Ziarah itu berakhir lebih kurang jam 4.00 petang, dan kami singgah di Masjid Pandasan untuk solat Asar. Selepas itu kami singgah di Kg. Keguran untuk menyampaikan sumbangan kepada satu keluarga di kampung tersebut. Alhamdulillah misi kami pada hari itu berjalan dengan lancar, semoga sumbangan yang tidak seberapa itu dapat meringankan beban mereka.

Disediakan oleh,
Setiausaha Agung

JELAJAH IHYA' RAMADHAN KE KG SARANG, KB.

Siri Jelajah Ihya' Ramadhan seterusnya telah berlangsung di Kg. Sarang, Kota Belud pada 27 Ogos 2011, yang jaraknya dari pekan Kota Belud lebih kurang 35 kilometer ke utara, jalan Kudat. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit dengan mengharungi bukit-bukau banjaran Crooker serta melintasi tanah yang menjadi isu masa kini di Kota Belud iaitu tanah simpanan Kg. Rampayan Ulu.


Rombongan jelajah ini diketuai oleh Datu Matlan Datu Unjong selaku Presiden PAGISA berserta dengan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah yang turut serta adalah Abu Aslam, selaku Timbalan Pengerusi dan juga ABIM Daerah Kota Belud.Ahli rombongan yang serta lebih kurang 15 orang dan tiba di Kg. Sarang lebih kurang pukul 4.45 petang.


Majlis  dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada para penerima fakir/miskin. Sumbangan telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAGISA Sdr Abdul Razak Hj. Rakunman kepada para penerima seramai 16 orang. Selepas penyerahan sumbangan, satu tazkirah telah disampaikan oleh Setiausaha Agung PAGISA dengan tajuk 'Madrasah Ramadhan: Medan Perubahan', seterusnya berbuka puasa, solat Maghrib dan jamuan makan. Solat sunat Tarawih juga turut dilaksanakan bersama jemaah kampung tersebut.


Komposisi penduduk di kampung ini terdiri daripada kaum Iranun, Dusun dan Bajau. Walaupun majoriti penduduk di Kg. Sarang ini adalah Dusun, namun keharmonian kaum amat intim dan akrab. Sebahagian kaum Dusun boleh bertutur dengan bahasa Iranun dan begitu juga orang Iranun boleh bertutur dengan bahasa Dusun.

Dari segi demografinya, kaum Iranun tinggal berhampiran dengan pantai dan kebanyakan mereka adalah  nelayan kecil sejak zaman berzaman. Melihat kepada corak kehidupan masyarakat di kampung ini, mereka bergantung penuh kepada laut dan hasil pertanian. Masyarakat di sini masih lagi bergelut dengan kemiskinan kerana corak kehidupan yang kurang memuaskan untuk menyara keluarga yang ramai.


Pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk kampung terutama Ketua Kampung iaitu KK Sungkit Hj. Batong yang sudi menerima kami sebagai tetamu. Insya Allah Ramadhan tahun kalau diizinkan Allah SWT, kami akan datang berkunjung lagi. Moga Allah SWT menerima segala amal kita.


Oleh

Setiausaha Agung

Friday 26 August 2011

SIRI JELAJAH IHYA' RAMADHAN




Dalam ucapan itu, Presiden menekankan konsep Infak sempena ‘Ramadhan al-Mubaraq’ ini bagi menghayati kesuciannya serta sikap bermurah hati dan konsep ‘watha a wanu ‘alal birry wataqwa’ wala tha a wanu ‘alal ismi wal wudwan', iaitu tolong menolong dalam berbuat kebaikan dan janganlah bertolong-tolongan dalam kemungkaran. Bulan Ramadhan ini merupakan ‘madrasah' yang akan menuntut kita belajar serta diajar untuk merasai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada kita.


Majlis juga diteruskan dengan berbuka puasa bersama-sama dengan Jawatankuasa Masjid serta para penerima bantuan. Selepas itu solat Maghrib dan solat Isyak serta solat Witir dengan diselangi ‘tazkirah’, dan seterusnya menikmati moreh beramai-ramai.


Pihak PAGISA juga turut mendengar rintihan masyarakat kampung yang terlalu sedih kerana Masjid Kg. Pantai Emas ini sudah terlalu uzur, di mana struktur bangunannya dimakan anai-anai dan amat berbahaya kepada para jemaah. Perkara ini telah diajukan kepada pihak atasan, namun setakat ini belum ada respon daripada pihak atasan. Jawatankuasa Masjid ini merasa sedih kerana mereka merasa amat disisihkan untuk diberi peruntukan penaiktarafan, tidak seperti masjid lain.


Menurut Imam Qariah En. Amar Umpok, beliau telah membincangkannya dengan Wakil Rakyat Usukan YB Datuk Japlin Akin serta pihak Pegawai Daerah, setakat ini belum ada respon positif, dan apa yang berlaku adalah pemantauan oleh pihak JHEAINS. Keputusan yang diperoleh menyatakan belum ada peruntukan. Menurut Imam tersebut perkara ini sudah diajukan juga dengan pihak YB Datuk Abdul Rahman Hj. Dahlan Ahli Parlimen Kota Belud serta Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, YB Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said.


Pihak persatuan memohon kepada semua pihak agar dapat mengambil tindakan terhadap perkara ini di mana penaiktarafan masjid ini sangat-sangat diperlukan. Menurut Imam Qariah, masjid ini sentiasa ada aktiviti terutama pada sebelah malam, di mana para jemaah akan hadir untuk solat Maghrib dan Isyak serta pada malam Jumaat ada program bacaan Yasin. Setiap tahun masjid ini akan selalu menjalankan kursus-kursus fardhu kifayah serta fardhu ‘ain. Beberapa pertubuhan NGO juga turut mengadakan aktiviti di masjid ini. Bagi pihak Jawatankuasa, amat merasa malu dengan kedaifan masjid ini yang tidak dapat memberikan keselesaan kepada para jemaah tempatan serta jemaah luar yang sering berkunjung.


Setelah beramah mesra dengan para jemaah, majlis pun bersurai dan bagi pihak persatuan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Masjid yang sudi menerima kami. Insya Allah tahun hadapan pada bulan yang sama, kami akan datang lagi.

Monday 22 August 2011

Program Ihya' Ramadhan dan Penyerahan Bantuan

Program Ihya' Ramadhan ini merupakan program lanjutan dari tahun lepas lagi, tapi pada masa itu kita buat di Kg. Pantai Emas, Kota Belud dan 10 orang fakir dan miskin telah menerima bantuan Ihya' Ramadhan. Kali ini PAGISA, ABIM dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah telah memilih Kg. Lasau Takolong, Kota Belud sebagai destinasi awal. Seramai 20 orang penerima yang terdiri daripada saudara baru dan fakir/miskin telah menerima bantuan.

Program ini telah berlansung pada 20 Ogos 2011 hari Sabtu, rombongan ini diketuai oleh Sdr Razak Rakunman selaku Tim. Presiden, bagi pihak ABIM Sabah Sdr Mohd. Nur Hilmie Milus selaku Setiausaha ABIM Negeri manakala pihak Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, Sdr Abu Aslam Hj. Abdullah sebagai Tim. Pengerusi.

Sumbangan adalah diperolehi daripada para dermawan yang sudi menyumbang untuk memuliakan lagi bulan Ramadhan dan penyumbang utama adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah. Hasil sumbangan setiap individu ini telah diagih-agihkan kepada masyarakat Islam yang berkeperluan sebagai meringankan beban serta mudah-mudahan mereka juga akan bergembira menyambut hari lebaran yang akan menjelang tiba.

Sebelum penyampaian bantuan tersebut, acara tazkirah telah disampaikan serta pengagihan ubat kepada masyarakat yang datang pada masa itu. Selepas itu, barulah penyerahan bantuan dilaksanakan dan dikuti berbuka puasa beramai-ramai serta solat Maghrib, Isyak dan seterusnya solat Tarawikh di Masjid Kg. Lasau Takolong.


Sebelum ini pun penyampaian turut dibuat di Kg. Tamau, Kota Belud dan sumbangan kepada Masjid Kg. Rampayan Ulu.

Program ini sebenarnya bertujuan menghidupkan amalan berderma kepada fakir miskin yang menjadi amalan para rasul dan ulama-ulama terdahulu. Para dermawan silam amat-amat menjiwai keperitan serta penderitaan masyarakat terutama kemiskinan yang menimpa. Kerana Islam itu dibina atas dasar persaudaraan, maka itu mereka mengamalkannya, di mana keperitan saudaranya merupakan keperitan dirinya sendiri sebagaimana yang berlaku kepada para sahabat Nabi SAW seperti Ali Abi Thalib, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Uthman Ibn Affan.

Mudah-mudahan Ramadhan ini menjadi madrasah kita semua untuk belajar pelbagai keistimewaannya serta kelebihan yang terkandung di dalamnya. Sewajarnya kita mempelajari serta menikmati kemuliaan Ramadhan ini agar ianya memberi kekuatan kepada kita semua.

Saturday 13 August 2011

RESOLUSI FORUM SYARIAH DAN CABARAN SEMASA DI MASJID NEGERI SABAH 18 REJAB 1427H/13 OGOS 2006


Kami, yang berkumpul di Masjid Negeri Sabah pada hari ini seramai 1500 orang untuk membincangkan cabaran semasa dalam pelaksanaan sistem undang-undang syariah di negara dan negeri ini menyatakan rasa bimbang terhadap usaha-usaha terancang pihak yang sedang cuba meminggirkan kedudukan Islam dalam sistem kenegaraan. Usaha-usaha ini merupakan satu langkah untuk membelakangkan hakikat sejarah semenjak ratusan tahun yang lalu di mana hukum syarak diterima pakai dalam kehidupan individu dan masyarakat terbesar negara ini.

Kedudukan istimewa Islam merupakan elemen penting dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara dan negeri. Hal ini merupakan hak asasi umat Islam di Malaysia. Jika dasar ini diganggu-gugat ia mampu menimbulkan pelbagai kesan negatif dalam masyarakat. Oleh itu, formula yang sedia ada dan telah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini, harus dipertegaskan dan diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu untuk Forum Syariah dan Cabaran Semasa pada 13 Ogos 2006 bersetuju dengan resolusi berikut:

1. Menggesa Kerajaan Negeri Sabah menguatkuasakan undang-undang Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah yang berkaitan dengan isu murtad dan seumpamanya dengan lebih tegas dan bersungguh-sungguh.

2. Menggesa Kerajaan Negeeri Sabah mempercepatkan penubuhan dan pewartaan Pusat Pemulihan Aqidah sebagai ppusat tahanan selaras dengan keperluan dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

3. Meminta pihak kerajaan memasukkan peruntukan dalam undang-undang Negeri Sabah berhubung hukuman bagi sesiapa yang didapati mendakyah agama lain kepada orang Islam untuk menukar agama.

4. Menggesa agar satu sistem pemantauan gejala murtad dilaksanakan oleh pihak berwajib.

5. Menggesa masyarakat Islam mengawasi kegiatan mendakyah agama lain kepada masyarakat Islam, manakala pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera dan jika sabit kesalahan hukuman perlu diambil.

6. Meminta kerajaan menubuhkan segera institusi/pusat yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak-anak mangsa murtad. Pada masa yang sama pusat ini akan mendapat menampung keperluan saudara baru.

7. Meminta kerajaan menubuhkan Pusat Rakan Sebaya Islam yang mengendalikan persoalan remaja dan isu-isu kepemudaan agar ada tempat bimbingan yang menjiwai isu-isu berkaitan.

8. Menggesa pihak kerajaan untuk menaik-taraf pengiktirafan akademik institut/kolej latiahan dakwah yang sudah sedia ada agar dapat melahirkan kader-kader da'wah yang berketrampilan. Hal ini akan menyumbang dengan lebih bermakna kepada kerja-kerja da'wah di negeri ini.

9. Meminnta kerajaan menubuhkan Pusat Kajian Islam Sabah (seperti IKIM) agar satu pengkajian yang sistematik untuk membela, memperkukuhkan kedudukan Islam serta memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam.

10. Menggesa Kerajaan Malaysia menerusi Parlimen meminda perlembagaan bertujuan memperjelaskan kekeliruan tafsiran berhubung Artikel 11.

11. Menyeru semua masyarakat Islam mengambil peluang, ruang dan kesempatan untuk terlibat secara bersungguh-sungguh mengembangkan agama Islam.

12. Semua masyarakat Islam perlu memberi perhatian serius kepada institusi keluarga masing-masing. Masyarakat Islam perlu bekerja secara kolektif dan komprehensif untuk memperkukuhkan sistem pendidikan yang Islami berpaksikan aqidah yang sebenar.

Kami juga mendokong resolusi dan ketetapan NGOs Islam pada peringkat kebangsaan, menyeru seluruh umat Islam bersatu dalam mempertahankan kedudukan Islam yang sedang diancam. Justeru itu kami turut bersetuju bahawa:

1. Semua peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang di peringkat negeri dan Persekutuan yang berkaitan dengan Islam perlu diperkukuhkan untuk menutup semua ruang yang menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan kedudukan Islam.

2. Setiap ancaman terhadap Islam adalah bermakna ancaman teerhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

3. Menuntut agar dihentikan segera percubaan usaha merombak dan menghakis kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Mana-mana ketidakpuasaan hati berkenaan dengan Islam harus disalurkan ke meja rundingan dengan pihak-pihak yang berautoriti. Pendekatan konfrontasi dan pertikaian mahkamah hanya akan mengakibatkan ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat.

4. Menuntut media aliran perdana dalam negara perlu memberi ruang kepada pihak Islam untuk menyuarakan pendapat mereka dan tidak lagi meminggirkan suara arus perdana ("mainstream") Islam. Media aliran perdana mestilah bersikap profesional dan beretika dalam laporan dan analisa mengenai Islam.

5. Hak dan kebebasan beragama perlu difahami dalam ruanglingkup Islam, bukannya mengikut kecenderungan individu. Faham kebebasan dan hak asasi acuan sekular-liberal adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

6. Menggesa Parlimen Malaysia hendaklah memperuntukkan hukuman bagi sesiapa yang menjalankan dakyah agama lain kepada umat Islam dan manakala pihak berkuasa hendaklah melaksanakan enakmen/akta berkenaan dengan tegas.

7. Menggesa Kerajaan untuk menolak usaha-usaha Barat dan badan-badan bukan kerajaan yang bersekongkol dan menggunakan NGO tempatan, ahli-ahli akademik dan orang perseorangan untuk mempengaruhi polisi dan undang-undang berkaitan orang Islam.

Dikeluarkan oleh


MUDDIN BETING
Yang Dipertua ABIM Sabah
Merangkap Pengerusi NGO Islam Sabah.


Berikut adalah pertubuhan bukan kerajaan yang telah hadir dan menerima resolusi FORUM SYARIAH DAN CABARAN SEMASA DI MASJID NEGERI SABAH 13 OGOS 2006/18 REJAB 1427H

1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
2. Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA)
3. Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) Sabah
4. Yayasan Amal Malaysia
5. Persatuan Ulama' Malaysia
6. Jamaah Islah Malaysia (JIM) Sabah
7. Persatuan Peguam Muslim Sabah
8. Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Cawangan Sabah
9. Persatuan Komuniti Bugis Kota Kinabalu (KECAPI)
10. Persatuan SAMA Sabah
11. Persatuan Bisaya Bersatu Sabah
12. Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA)
13. Persatuan Siswazah Islam Sabah
14. Persatuan Siswazah Sabah
15. PERTIWISA
16. Persatuan Islam Petronas Cawangan Sabah
17. Teratak Fitrah
18. Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islam Malaysia
19. Pertubuhan Silat Sendeng Malaysia (PSSSM) Sabah
20. Persatuan Perkhidmatan Taman Asuhan Kanak-Kanak Sabah
21. Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah
22. Jawatankuasa Masjid An-Nur Taman Putera Jaya, Telipok
23. Jawatankuasa Majid Kampung Jawi-Jawi Kota Belud
24. Persatuan Pidato Pertama Melayu, Sabah
25. Jawatankuasa Surau Kolombong, Penampang
26. Jawatankuasa Masjid Daerah Tuaran
27. Jawatankuasa Masjid Daerah Tamparuli
28. Majlis Guru Agama daerah Penampang
29. Jawatankuasa Masjid SMK Likas
30. Jawatankuasa Pusat Islam Politeknik Kota Kinabalu
31. Jawatankuasa Masjid Kampung Lapasan
32. Jawatankuasa Surau BERNAS Kolombong.

Resolusi ini telah dikemukakan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Datuk Haji Ahmadshah Abdullah, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertuan Negeri Sabah, oleh Gabungan Bukan Kerajaan (NGOs) Islam Sabah pada 27 Syaaban 1427H / 20hb September 2006, di Istana Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Beberapa Visi dan Misi PAGISA

MANDAT

Resolusi Seminar MAGISA pada 17 Mei 2003
Perlembagaan Persatuan Graduan Iranun Sabah PAGISA (Sabah)

VISI

Menjadi entiti pertubuhan yang berwibawa dan berkualiti

MISI

Untuk menggembleng dan mengharmonikan minda, tenaga, dan kepakaran ahli melalui kepemimpinan berhikmah dan pengurusan berwibawa serta boleh menggunakan segala sumber secara berkesan yang berpaksikan Islam

MATLAMAT

Wadah penyatu graduan di Sabah

Memandu masyarakat Iranun dalam menaikkan taraf sosio-ekonomi, pendidikan, dan budaya yang mempunyai nilai-nilai yang baik selaras dengan syariat Islam

Menjadi agen perubah, penggerak, dan penjana masyarakat Iranun yang madani; dan

Memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Iranun dan masyarakat Malaysia amnya, selaras dengan Dasar Perpaduan Nasional.

Sejarah Penubuhan Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA)






Idea menubuhkan persatuan graduan Iranun dicetuskan oleh Allahyarham Dr Hj Datu Bandira Datu Alang menerusi perbincangan secara tidak formal bersama beberapa rakan penaja persatuan. Setelah diperhalusi dan ditelliti idea tersebut beberapa inisiatif telah diambil bagi merealisasikan cadangan ini.


Antara usaha bagi merealisasikan idea besar ini ialah "Seminar Majlis Graduan Iranun Sabah" yang berlangsung di Dewan Seminar SESB, Kota Kinabalu pada 17 Mei 2003. Seminar tersebut telah mengambil beberapa resolusi yang menjadi justifikasi kepada penubuhan sebuah persatuan yang bertindak sebagai Kumpulan Pemikir, iaitu:

1. Pendidikan dan Dakwah
a) Mempertingkatkan kempen terhadap kepentingan pendidikan
b) Mencadangkan penubuhan sebuah kolej Iranun; dan
c) Meningkatkan kesedaran dan amalan Islam di kalangan masyarakat Iranun dalam kehidupan seharian

2. Ekonomi
Mencadangkan penubuhan perbadanan Pembangunan Iranun Sabah (Sabah Iranun Development Corporation)

3. Sosial
Memulihara norma dan budaya Iranun yang tidak bercanggah dengan Islam

Seramai lebih kurang 100 orang graduan dan bukan graduan telah menghadiri seminar itu. Dua kertas kerja telah dibentangkan, iaitu, "Iranun dalam konteks Rantau Melayu; Harapan dan Hala Tuju", oleh Dr Hj Datu Bandira Datu Alang dan "Islam sebagai Asas Pembangunan Masyarakat Iranun", oleh Ustaz Awang Laiman Hj Ekin.

Seminar yang julung kali diadakan itu menjadi katalis kepada kelahiran PAGISA (Sabah). Dalam mesyuarat 'After Action Review' yang diadakan pada 19 Mei 2003, semua ahli mesyuarat sepakat mengambil ketetapan untuk membentuk jawatan kuasa penaja. Jawatan kuasa tersebut dikenali sebagai Jawatan Kuasa Majlis Graduan Iranun Sabah atau MAGISA.

Mengapa MAGISA? Magisa (Bahasa Iranun katuata kerja) bermaksud bersatu atau berpadu, iaitu usaha membentuk satu kesatuan yang utuh dan mantap. Justeru MAGISA diharap akan menjadi wadah yang dapat mengharmonikan variasi pemikiran dan kepakaran para graduan Iranun.

Awal tahun 2004, Jawatan Kuasa Penaja telah mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Sabah (JPPNS). Namun, permohonan tersebut ditolak oleh JPPNS dengan alasan MAGISA boleh didaftarkan hanya apabila penubuhan cawangan. memikirkan kehendak peraturan, maka perkataan 'Majlis' telah ditukarkan kepada 'Persatuan' Persatuan Graduan Iranun Sabah [PAGISA (Sabah)].

'Pagisa' (Bahasa Iranun kata kerja) bermaksud usaha-usaha yang dilakukan oleh beberapa individu untuk membentuk kesatuan atau perpaduan. Dengan kata lain antara MAGISA dan PAGISA mendukung makna yang sama.

Pada 28 Mac 2005 pertubuhan ini telah diluluskan pendaftarannya oleh JPPNS atas nama PAGISA (Sabah). Oleh hal yang demikian, bermulalah era pertubuhan ini sebagai sebagai satu entiti yang meletakkan kepentingan budaya beragama dalam pembinaan bangsa madani.

oleh

Presiden
Datu Matlan Datu Unjong