Powered By Blogger

Tuesday 13 March 2012

Iman Watak Utama Sebagai Pejuang

 Oleh: Setiausaha Agung

Menyingkap surat Al-Tawbah: 38 - 42, memberi makna besar terhadap sifat serta ciri utama sebagai tokoh pejuang. Allah SWT telah menjelaskan dalam surah ini betapa pentingnya 'Iman' dijadikan ukuran terhadap ciri sebagai pejuang. Hanya orang yang mantap serta kukuh imannya berupaya mengharungi segala cabaran perjuangan, serta jujur dan amanah melaksanakan misi insaniyah. 

 Dalam surah ini Allah SWT, telah memulakan perintahnya dengan kalimah 'Wahai orang-orang yang beriman...', dan tidak memulakan perintahnya dengan 'wahai orang-orang kaya..., atau wahai orang-orang yang bijak pandai...', namun Allah SWT mengarahkan orang-orang yang beriman agar turun dan berjuang berperang menegakkan keadilan dan kebenaran. Misi besar sebenarnya dalam pengarahan ini, adalah keyakinan terhadap golongan beriman yang lebih mendasari hakikat kemanusiaan yang melibatkan keadilan dan kebenaran tentang risalah Islam sebagai agama samawi yang berupaya memimpin dan membimbing masyarakat serta rakyat ke jalan yang diridhai-Nya. 

Peringatan ini menjelaskan betapa pentingnya watak keimanan sebagai sifat utama terhadap kepimpinan sama ada masyarakat atau negara. Memilih watak keimanan adalah pra syarat terhadap misi insaniyah kerana iman mampu mengawal, memelihara dan membimbing para pemimpin daripada sifat keiblisannya. Hanya sifat keimanan sahaja yang berupaya menyedarkan pelbagai golongan terhadap sikap kebertanggungjawaban yang tinggi serta memiliki intergriti mulia dalam mengurus persoalan kemanusiaan. 

Ayat 41; Al-Tawbah mengungkapkan "pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui". "pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah)...", ungkapan ini amat jelas kepada manusia beriman bahawa misi murabbi memartabatkan dan mendaulatkan Islam adalah kewajipan yang mesti dilaksanakan dan dipatuhi. Sebarang penyangkalan terhadap perintah ini, pasti akan membawa penyesalan. Perintah rabbani ini tidak mengira bagaimana keadaan dan situasi sekali pun dalam kesulitan yang amat sangat, ini dinyatakan dengan jelas "sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab)".

 Hakikatnya 'Iman' adalah pra syarat penting terhadap watak pemimpin, memisahkan iman daripada ciri kepimpinan akan meletakan negara dalam kerosakan dan kebinasaan. Iman itu tidaklah semestinya hanya percaya kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat dan Qada dan Qadar, namun ianya merangkumi pelbagai aspek penting dalam tamadun kemanusiaan. Kalau 'Iman' itu sekadar ucapan dan tidak diikuti dengan keyakinan serta amalan, maka pemimpin itu hanya bersikap kepura-puraan iaitu hipokrit dalam melayani sifat insaniyah, dan menipu Allah SWT dalam keadaan yang dia hanya menipu diri sendiri.