Powered By Blogger

Monday 29 August 2011

MENYANTUNI GOLONGAN MARHAEN DI KG TAMBILAUNG, KB


Pada 28 Ogos 2011, Pihak PAGISA telah mengunjungi masyarakat Islam di Kg. Tambilaung, Kota Belud di mana penduduk kampung ini terdiri daripada masyarakat Bajau dan Iranun. Pihak persatuan yang diketuai oleh Setiausaha Agung, Sdr Milus Alu dan Sdr Ladim Hj. Abd. Rahman serta Sdr Mohd Nur Hilmie Milus selaku Setiausaha ABIM Sabah telah menyerahkan sedikit bantuan kepada 7 orang penduduk kampung tersebut. Sebelum itu, pada sebelah paginya Sdr Ladim Hj Abd Rahman telah menyampaikan sumbangan kepada 8 orang penduduk fakir/miskin di Kg. Merabau, Kota Belud.

Ketika mana sumbangan diserahkan dari rumah ke rumah, didapati para penerima tersebut terdiri daripada penduduk miskin tegar dan sebahagiannya hidup bersendirian di rumah masing-masing yang amat dhaif. Mereka ini juga bergantung penuh kepada sumbangan yang diterima setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM300.00. Di antara mereka itu ada yang menghidap penyakit kronik seperti batuk kering, retak tulang belakang dan sakit tua.


Untuk menambah pendapatan bulanan bagi menampung kehidupan seharian dengan kenaikan harga barang makanan, mereka terpaksa mencari rebung dan dijual ke Tamu Kota Belud. Selain itu ada juga yang terpaksa ke sungai menangkap ikan walaupun kesihatan tidak mengizinkan, namun demi untuk hidup terpaksa juga digagahi. Inilah perjuangan besar bagi golongan marhaen yang sentiasa bertarung dengan hidup walaupun kesihatan mereka kurang memuaskan, tetapi mereka tetap gembira dengan suasana itu.

Ziarah itu berakhir lebih kurang jam 4.00 petang, dan kami singgah di Masjid Pandasan untuk solat Asar. Selepas itu kami singgah di Kg. Keguran untuk menyampaikan sumbangan kepada satu keluarga di kampung tersebut. Alhamdulillah misi kami pada hari itu berjalan dengan lancar, semoga sumbangan yang tidak seberapa itu dapat meringankan beban mereka.

Disediakan oleh,
Setiausaha Agung

JELAJAH IHYA' RAMADHAN KE KG SARANG, KB.

Siri Jelajah Ihya' Ramadhan seterusnya telah berlangsung di Kg. Sarang, Kota Belud pada 27 Ogos 2011, yang jaraknya dari pekan Kota Belud lebih kurang 35 kilometer ke utara, jalan Kudat. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit dengan mengharungi bukit-bukau banjaran Crooker serta melintasi tanah yang menjadi isu masa kini di Kota Belud iaitu tanah simpanan Kg. Rampayan Ulu.


Rombongan jelajah ini diketuai oleh Datu Matlan Datu Unjong selaku Presiden PAGISA berserta dengan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah yang turut serta adalah Abu Aslam, selaku Timbalan Pengerusi dan juga ABIM Daerah Kota Belud.Ahli rombongan yang serta lebih kurang 15 orang dan tiba di Kg. Sarang lebih kurang pukul 4.45 petang.


Majlis  dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada para penerima fakir/miskin. Sumbangan telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAGISA Sdr Abdul Razak Hj. Rakunman kepada para penerima seramai 16 orang. Selepas penyerahan sumbangan, satu tazkirah telah disampaikan oleh Setiausaha Agung PAGISA dengan tajuk 'Madrasah Ramadhan: Medan Perubahan', seterusnya berbuka puasa, solat Maghrib dan jamuan makan. Solat sunat Tarawih juga turut dilaksanakan bersama jemaah kampung tersebut.


Komposisi penduduk di kampung ini terdiri daripada kaum Iranun, Dusun dan Bajau. Walaupun majoriti penduduk di Kg. Sarang ini adalah Dusun, namun keharmonian kaum amat intim dan akrab. Sebahagian kaum Dusun boleh bertutur dengan bahasa Iranun dan begitu juga orang Iranun boleh bertutur dengan bahasa Dusun.

Dari segi demografinya, kaum Iranun tinggal berhampiran dengan pantai dan kebanyakan mereka adalah  nelayan kecil sejak zaman berzaman. Melihat kepada corak kehidupan masyarakat di kampung ini, mereka bergantung penuh kepada laut dan hasil pertanian. Masyarakat di sini masih lagi bergelut dengan kemiskinan kerana corak kehidupan yang kurang memuaskan untuk menyara keluarga yang ramai.


Pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk kampung terutama Ketua Kampung iaitu KK Sungkit Hj. Batong yang sudi menerima kami sebagai tetamu. Insya Allah Ramadhan tahun kalau diizinkan Allah SWT, kami akan datang berkunjung lagi. Moga Allah SWT menerima segala amal kita.


Oleh

Setiausaha Agung