Powered By Blogger

Monday 29 August 2011

MENYANTUNI GOLONGAN MARHAEN DI KG TAMBILAUNG, KB


Pada 28 Ogos 2011, Pihak PAGISA telah mengunjungi masyarakat Islam di Kg. Tambilaung, Kota Belud di mana penduduk kampung ini terdiri daripada masyarakat Bajau dan Iranun. Pihak persatuan yang diketuai oleh Setiausaha Agung, Sdr Milus Alu dan Sdr Ladim Hj. Abd. Rahman serta Sdr Mohd Nur Hilmie Milus selaku Setiausaha ABIM Sabah telah menyerahkan sedikit bantuan kepada 7 orang penduduk kampung tersebut. Sebelum itu, pada sebelah paginya Sdr Ladim Hj Abd Rahman telah menyampaikan sumbangan kepada 8 orang penduduk fakir/miskin di Kg. Merabau, Kota Belud.

Ketika mana sumbangan diserahkan dari rumah ke rumah, didapati para penerima tersebut terdiri daripada penduduk miskin tegar dan sebahagiannya hidup bersendirian di rumah masing-masing yang amat dhaif. Mereka ini juga bergantung penuh kepada sumbangan yang diterima setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM300.00. Di antara mereka itu ada yang menghidap penyakit kronik seperti batuk kering, retak tulang belakang dan sakit tua.


Untuk menambah pendapatan bulanan bagi menampung kehidupan seharian dengan kenaikan harga barang makanan, mereka terpaksa mencari rebung dan dijual ke Tamu Kota Belud. Selain itu ada juga yang terpaksa ke sungai menangkap ikan walaupun kesihatan tidak mengizinkan, namun demi untuk hidup terpaksa juga digagahi. Inilah perjuangan besar bagi golongan marhaen yang sentiasa bertarung dengan hidup walaupun kesihatan mereka kurang memuaskan, tetapi mereka tetap gembira dengan suasana itu.

Ziarah itu berakhir lebih kurang jam 4.00 petang, dan kami singgah di Masjid Pandasan untuk solat Asar. Selepas itu kami singgah di Kg. Keguran untuk menyampaikan sumbangan kepada satu keluarga di kampung tersebut. Alhamdulillah misi kami pada hari itu berjalan dengan lancar, semoga sumbangan yang tidak seberapa itu dapat meringankan beban mereka.

Disediakan oleh,
Setiausaha Agung

1 comment:

  1. InsyaAllah dengan niat yang ikhlas, saudara semua akan mendapat balasan dari yang Maha Esa. Walau sedikit, sumbangan ini tentu memeberi kelegaan kepada penerima. Moga kita dapat teruskan dimasa akan datang

    ReplyDelete